Tab Menu 8

Followers

Wednesday, February 23, 2011

Suara Daripada Perut


VENTRILOQUIST..kembar seiras ini memiliki minat sama.

BERCAKAP melalui perut tanpa sedikit pun menggerakkan bibir mungkin kedengaran pelik dan mustahil dilakukan. Namun bagi pengamal seni ventriloguist, ia dianggap satu keistimewaan kerana tidak semua mampu melakukannya.
Pasangan kembar seiras, Mohd Syazwan Nizam Matusin dan Mohd Syazrul Nizam Matusin, 22, kembali menghidupkan seni ventriloquist di negara ini yang semakin ‘tenggelam’, walaupun satu ketika dulu ia pernah popular menerusi watak Jalut yang dimainkan oleh pelawak, Mahadi.


URUS....Jeff Omar ( dua dari kiri) dan Kay Maria (kanan) bertanggungjawab membawa Wan dan Rul ke Kuala Lumpur.

Menggunakan patung atau ‘dummy’ yang diberi nama Buntak dan Awang, dua beradik itu mengecapi populariti di negeri asal, Sabah.

Mohd Syazwan yang lebih mesra disapa dengan nama Wan adalah identiti sebenar kepada dummy bernama Buntak, manakala Mohd Syazrul atau Rul lebih serasi bersama Awang.Apabila melihat persembahan mereka, dapat dirasakan Buntak dan Awang seakan-akan hidup sehingga membuat ­penonton terpana dan tertanya-tanya adakah patung itu bernyawa.

Lebih menarik, mereka bukan hanya membuat persembahan lawak jenaka, malah boleh me­nyanyi dengan melontarkan suara lantang tanpa perlu membuka mulut mahupun menggerakkan bibir sekalipun.

Wan berkata, Buntak adalah patung pertama dimilikinya apabila dibeli oleh ayahnya, Matusin Awang Damit, 57.

Katanya, dia mula meminati seni itu apabila menonton sebuah rancangan televisyen ventriloquism dari Jepun menerusi televisyen ketika berusia 15 tahun.

“Sama seperti orang lain, saya pada mulanya hairan melihat patung itu bercakap, sedangkan mulut ‘pemegangnya’ langsung tidak bergerak.

“Namun selepas melihat ­secara teliti persembahan mereka, baru saya tahu dari mana suara itu dikeluarkan,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, anak muda ini menanam azam untuk mendalami seni itu dan mula melakukan latihan secara sendirian berpandukan maklumat dan video yang ditontonnya melalui Internet.

Pada mulanya, dia menggunakan patung yang dibuat sendiri dan berlatih di depan cermin hampir setiap hari bagi memahirkan diri.

Melihat kesungguhan dan minat mendalam untuk menjadi ventriloquist, ayahnya mengimport Buntak untuknya dan sejak itu dia terus aktif mengadakan persembahan di sekitar Sabah.

Penghijrahan dua beradik kembar ini ke Kuala Lumpur diuruskan oleh pelakon dan juga penerbit drama, Jeff Omar yang tertarik dengan bakat dimiliki mereka.

Walaupun pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dan bimbang untuk berhijrah, apatah lagi perlu berjauhan dengan keluarga, semua itu ditolak ke tepi demi mengembangkan bakat dimiliki.

Wan berkata, sehingga kini mereka memiliki enam patung pelbagai ‘jantina’ dan mempunyai karakter dan suara berbeza.

Bercerita mengenai Buntak, Wan berkata, Buntak diberi karakter sebagai seorang yang banyak cakap, nakal dan sering mencuit hati dengan telatahnya yang lucu.

Katanya, setiap patung perlu diberi karakter ­tertentu bagi menjadikan ia benar-benar hidup dan berbeza dengan karakter mereka.

“Karakter yang diberikan itulah sebenarnya membantu menghidupkan sesuatu persembahan selain pengisian dan jalan ceritanya.

“Menjadi cabaran pada kami berdua untuk mempelbagaikan karakter dan suara supaya ia tampak berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Berbeza dengan Wan, Rul pada mulanya hanya menjadi ‘back-up’ kepada abangnya ketika melakukan persembahan kerana dia lebih ter­arah kepada bidang nyanyian.
Ketika itu dia masih belum bersedia menjadi ventriloquist, sebaliknya lebih selesa menjadi penghibur yang meniru suara Tan Sri P Ramlee di Sabah.

“Minat saya dalam bidang ini timbul agak lambat berbanding abang saya, namun semua itu tidak dijadikan alasan untuk saya terus memantapkan diri dengan ilmu ventriloquism.

“Kami sering bertukar-tukar pendapat dan idea sebelum melakukan sesuatu persembahan supaya persembahan kami menarik perhatian penonton,” katanya.

Oleh kerana seni ini memerlukan mereka bercakap dari dalam perut dan bibir tidak boleh digerakkan, menjadi satu cabaran untuk menyebut sesetengah
perkataan.

Perkataan yang mengandungi huruf seperti B, M, P dan W sukar disebut tanpa menggerakkan bibir dan ia mengambil masa lama untuk belajar me­nyebut huruf itu.
“Walaupun pada mulanya­ sukar membiasakan diri, lama-kelamaan kami berjaya menyebut perkataan itu.

“Dua elemen penting yang ditekankan adalah kesungguhan dan kesabaran kerana ia saling bergantung antara satu sama lain dalam memastikan setiap persembahan kami sampai kepada audiens,” katanya.

Awang yang memiliki rambut berwarna kuning lebih bersifat senyap berbanding Buntak tetapi diserapkan dengan sedikit karakter gatal dan selamba.

Rul berkata, dia me­ngambil masa tiga hari dan tiga malam untuk memikirkan karakter sesuai untuk Awang dan selepas itu pula perlu menjiwai karakter berkenaan.

“Karakter dipilih mestilah berlainan dengan karakter saya supaya penonton boleh melihat perbezaan itu, sekali gus menjadikan persembahan lebih berkesan.

“Elemen komedi perlu disuntik untuk mengelak penonton berasa bosan, namun komedi dipersembahkan perlu ‘masuk’ dengan penonton bagi mengelak ‘persembahan syok sendiri’,” katanya.

Lazimnya, mereka akan duduk berbincang sebelum melakukan persembahan bagi bertukar-tukar idea supaya ­persembahan mereka selari dan berkesan.

Kebiasaannya mereka menjadi apa saja elemen yang berada di sekeliling mereka untuk dijadikan bahan komedi kerana ia lebih dekat dengan penonton.

Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, kembar seiras ini sering mengadakan persembahan silap mata, nyanyian dan ventriloquist di sekitar Labuan dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Tambah menarik, kedua-dua beradik ini sering menduduki tempat antara tiga teratas dalam Pertandingan Bintang P Ramlee di Sabah.

Ventriloquism berasal daripada perkataan Latin yang mana venter yang bererti perut dan loqui bermaksud bercakap.

Seni ini mula dipopularkan oleh Harry Lester (1878 - 1956), yang dilahirkan di Poland dan dikenali di atas pentas sebagai The Great Lester.

Sementara itu, Jeff Omar yang bertindak selaku pengurus dan dibantu oleh dramatis ­tanah air, Kay Maria berkata, Wan dan Rul mempunyai ­potensi yang besar untuk pergi jauh dalam bidang seni kerana mereka memiliki kelainan berbanding bakat baru yang sedia ada.

Katanya, di kala dunia seni dibanjiri bakat baru yang kebanyakannya memilih dunia nyanyian dan lakonan, mereka tampil berbeza.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka mempunyai bakat yang lengkap iaitu mampu menyanyi, menjadi pelawak dan berlakon.

“Bakat seperti inilah yang patut diketengahkan kerana jika dilihat daripada maklum balas yang diterima, kebanyakannya melahirkan rasa kagum pada bakat yang dimiliki mereka,” katanya.

Menurutnya, Wan dan Rul sering memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua yang dilakukannya tanpa pernah putus asa.

Tambahnya, dia mempunyai perancangan untuk mengete­ngahkan bakat mereka dengan menerbitkan sebuah rancangan televisyen khas untuk mereka di samping memberi peluang untuk berlakon dalam mana-mana drama.

“Wan dan Buntak pernah berlakon dalam drama Selamat Hari Raya Bapak pada Aidilfitri tahun lalu dan ia adalah platform yang tepat untuk membuatkannya dikenali.

“Saya mempunyai harapan yang cukup besar iaitu ingin membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan sekaligus melakar nama antara ­vertaloquist tersohor dunia,” katanya.


INFO

  • Ventriloquist ­adalah seni ­bercakap melalui perut tanpa ­menggerakkan bibir Mohd Syazwan

  • Nizam Matusin (Wan) ­mengendalikan ­patungnya yang diberi nama Buntak ­manakala Mohd Syazrul Nizam Matusin (Rul) ­bersama Awang

  • Buntak mempunyai karakter nakal, lucu dan banyak cakap. Awang pula bersifat pendiam dan gatal

  • Mempunyai bakat ­meniru suara artis, ­terutama seniman Tan Sri P Ramlee

  • Boleh dihubungi ­menerusi lama sosial facebook: www.facebook.com/wan rul magic puppet

    PROFIL

    NAMA: Mohd Syazrul Nizam Matusin
    UMUR: 22 tahun
    LAHIR: 7 April 1989
    ASAL: Beaufort, Sabah
    KELUARGA: Kedua daripada lima beradik
    PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
    IDOLA: Tan Sri P Ramlee, Terry Fator dan Cyril Takayama


    PROFIL

    NAMA: Mohd Syazwan Nizam Matusin
    UMUR: 22 tahun
    LAHIR: 7 April 1989
    ASAL: Beaufort, Sabah
    KELUARGA: Sulung daripada lima beradik
    PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
    IDOLA: Tan Sri P Ramlee dan Terry Fator

  • Kalau suka like entri mama ain

    3 comments:

    caer sasuke said...

    fuyyo..kak nor pon dlu ain ckap dlam prot kan..kih3

    Noor said...

    huhuuu.....mana ada la...

    LURZAN TAZA LIMAJ said...

    hahahaaa, caer buat lawak :-)